TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB Mengenai Syria sempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-71, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
NEW YORK: Malaysia merayu dan mendesak masyarakat dunia bersatu di bawah payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau apa juga pertubuhan dunia untuk menamatkan dengan segera konflik peperangan di Syria.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sudah sampai masa bagi masyarakat seluruh dunia bersatu menyokong usaha Majlis Keselamatan PBB ke arah menamatkan 'bencana' dan kemusnahan berterusan di Syria yang sudah berlarutan selama lima tahun.
Katanya, konflik berdarah yang berpanjangan di Syria perlu diselesaikan segera mengikut resolusi dan keputusan yang dicapai di dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB bagi membolehkan keamanan serta kestabilan di kembalikan di negara berkenaan serta rantau Asia Barat.
"Kita setuju dengan pandangan ketua negara beberapa negara anggota Majlis Keselamatan PBB bahawa masalah ini harus diselesaikan segera dan tidak perlu lagi pertemuan, mencari resolusi atau perbincangan yang akhirnya ia tinggal atas kertas sahaja dan tidak ada jalan penyelesaian.
"Sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB, Malaysia merasakan bahawa masyarakat antarabangsa dan pihak bertelagah harus menghormati apa yang diputuskan Majlis Keselamatan dan badan dunia lain yang mahu keamanan secara kekal dapat dikembalikan di Syria," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas berucap dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB Mengenai Syria sempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-71, sebentar tadi.
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 22 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?