Agong tidak campur hal PPBM - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perdana menteri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang telah menerima menghadap Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, minggu lepas.

"Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir.

"Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh PPBM," kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana menteri berkata, ini kerana deklarasi dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan. - BERNAMA

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?