MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan masih belum memutuskan sebarang kadar baharu bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) di lapangan terbang negara yang sedang disemak semula.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata semakan semula PSC ketika ini masih diteliti oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Katanya, sebarang keputusan oleh MAVCOM akan dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan orang awam dan pemain industri penerbangan dengan menjadikan kepentingan pengguna sebagai keutamaan.
"Perkara membabitkan semakan semula PSC masih diteliti secara mendalam oleh MAVCOM selaku badan kawal selia bebas yang bertanggungjawab terhadap isu ekonomi bagi industri penerbangan negara.
"Kerajaan sedia maklum dengan kepentingan menilai secara terperinci dalam memutuskan kenaikan terhadap kadar PSC. Orang ramai diharap tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung perkara ini memandangkan tiada sebarang kadar baharu diputuskan buat masa ini," katanya.
Tiong Lai sebelum ini dilaporkan berkata kadar PSC baharu akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan, namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.
23 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?