PUTRAJAYA: Kabinet meminta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengkaji serta menambah baik cadangan membenarkan pemaju perumahan memberi pinjaman kepada pembeli.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau menjelaskan kepada Kabinet bahawa cadangan itu adalah menggunakan pembiayaan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 [Akta 400] di bawah seliaan kementeriannya.
"Sebenarnya dasar ini sedia wujud dan beberapa syarikat sudah pun diberi lesen Pemberi Pinjaman Wang untuk membiaya pinjaman ini sebagai 'bridging' (sambungan) kepada bayaran muka (deposit) pembelian rumah.
"Kabinet hari ini meminta kementerian saya mengkaji dan menambah baik dasar ini terutama dari segi keberkesanan membantu rakyat untuk membiaya pembelian rumah selain kadar faedah dan tempoh bayaran balik supaya tidak membebankan rakyat.
"Pihak kementerian juga diminta memastikan dan garis panduan berkaitan adalah jelas lagi mudah difahami kedua-kedua syarikat pemegang lesen pemberi pinjaman wang dan juga peminjam," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Pada masa sama, tambah beliau, kementeriannya juga mengambil tindakan proaktif dan melihat secara keseluruhan keberkesanan kemudahan pembiayaan wang di bawah peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang supaya tidak disalahgunakan oleh pemegang lesen yang tidak bertanggungjawab.
Oleh Magendran Rajagopal 14 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?