Datuk M Saravanan.
CYBERJAYA: Golongan belia disaran meneroka bidang pertanian, penternakan, minyak dan gas serta keusahawanan bagi menjana pendapatan mapan, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan, berkata semua sektor berkenaan banyak dipelopori warga asing tetapi kurang diminati warga tempatan meskipun pendapatan dalam bidang terbabit amat lumayan.
Jelas beliau, satu per tiga daripada belia di negara ini tidak mempunyai pendapatan mapan dan tergolong dalam kumpulan B40 iaitu isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.
"Perkara ini amat membimbangkan terutama di ambang negara ini mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Contohnya, jika seorang lepasan universiti berpendapatan RM2,500, mereka ini tidak tergolong sebagai kumpulan B40 tetapi skop pendapatan mereka itu boleh dianggap sebagai tidak mapan kerana kurang daripada RM3,000.
"Malah, ia boleh dikira sebagai miskin bandar kerana kos kehidupan di bandar amat tinggi, umpamanya keperluan membayar sewa rumah dan ansuran kenderaan selain barangan dapur yang boleh menjangkau RM300 setiap minggu," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran buku panduan 'Kompas Undang-undang Untuk Perusahaan Sosial' oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi dan Naib Presiden Perusahaan Sosial, Ehon Chan.
26 May, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?