Semua parti komponen harus bergerak sebagai BN

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SEREMBAN: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini menyarankan semua parti komponen termasuk UMNO, MIC dan MCA bergerak sebagai satu Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, program dan gerak kerja parti komponen, yang dijalankan secara berasingan pada masa ini, tidak wajar dilakukan kerana kelihatan seperti tiada kesepaduan.

"Gerak kerja UMNO sendiri, MCA sendiri, MIC sendiri harus dielakkan. Kita kena pamerkan satu identiti iaitu BN supaya rakyat boleh melihat, ..kita kena gerak sebagai BN.

"Perubahan ini perlu kita lakukan, ..kalau tidak kita pasti akan berhadapan masalah pada masa akan datang," kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun MIC ke-70 peringkat Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany dan anggota jawatankuasa MIC Pusat yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, kenikmatan hari ini diperoleh hasil kerjasama BN dalam memperjuangkan kemerdekaan.

"MIC dan UMNO ditubuhkan atas niat suci membela anak bangsa, ...UMNO di Istana Besar Johor manakala MIC di sebuah kuil di Sentul.

"Zaman berubah begitu pesat dan kita mesti mengubah pemikiran kita tetapi apa yang penting ialah perpaduan. Inilah pokok yang kita semai pada 1954 atas nama Perikatan untuk membela nasib Melayu, Cina dan India," katanya.

Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, MIC di bawah kepimpinan Dr Subramaniam kini dilihat semakin kukuh dan kuat malah presidennya juga diterima baik oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Mohamad berjanji bahawa tiada perubahan kerusi milik MIC di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-14.

Pada pilihan raya umum ke-13, MIC diberi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jeram Padang dan Port Dickson serta satu kerusi Parlimen iaitu Teluk Kemang. - BERNAMA

15 Aug, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?