KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim dan Bendahari Kehormatnya, Datuk S Sivasundram melepaskan jawatan dalam pentadbiran badan induk bola sepak negeri itu hari ini.
Keputusan mengejut itu dibuat dipercayai susulan tindakan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu merombak dan menyusun semula struktur organisasi itu.
Rosman dalam kenyataannya berkata, mereka menyokong penuh hasrat itu dan berharap perubahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam bola sepak tempatan, isu seperti penjenamaan semula dan penswastaan adalah sesuatu yang mesti dilakukan lebih-lebih lagi sebagai sebuah pasukan mempunyai sejarah gemilang seperti Selangor.
"Justeru, kami selaku Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat FAS sedia mengundurkan diri bagi memastikan kelancaran proses transformasi seperti dihasratkan Presiden.
"Kami akan menghantar notis melepaskan jawatan dan mengambil cuti serta merta untuk tujuan itu," kata Rosman hari ini.
Sementara itu, Azmin berkata pihaknya perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pegawai kanan yang sudah 20 tahun berkhidmat bersama organisasi terbabit.
"FAS mengucapkan terima kasih di atas khidmat dan sumbangan yang diberikan oleh Rosman dan Sivasundram terhadap perkembangan bola sepak Selangor.
"Saya memberi jaminan FAS akan terus menjalani proses reformasi yang bersesuaian dengan aspirasi penyokong yang sentiasa memberi dorongan kepada pasukan Selangor," katanya.
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof 08 Aug, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?