Kuala Lumpur: Mohamad Sahar Mohd Noor, 57, sangat teruja unuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga disamping menghadiri majlis graduasi anak prempuannya yang menamatkan pengajian di Brunel University, London.
Namun, selepas 20 minit dia keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heatrow pada 4 Julai lalu, Ketua Kerani di Koleh Kemahiran TInggi Mara (KKTM), Negeri Sembilan itu diserang angin ahmar sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital sehingga ke hari ini.
"Sebaik saja keluarga saya tiba di lapangan terbang, ayah saya tiba-tiba pengsan dan semuanya berubah selepas itu. Saya panik dan tertekan kerana ayah saya tidak dilindungi insuran perjalanan.
"Keadaan tambah sukar apabila kami juga tidak mampu menampung bil hospital di sini," kata anak keduanya, Amirah Mohamad Sahar, menerusi laman web Gofundme.
Menurut Amirah juga, selepas hampir sebulan dirawat di Charis Cross Hospital, West London, tiga minggu di ICU, bil rawatan ayahnya mencecah £46,000 (RM245,764.92).
Dalam keadaan terdesak, doktor yang merawat memberitahu yang ayahnya perlu menjalani pembedahan dengan segera.
"Doktor gesa pembedahan dibuat dengan segera. Walaupun berdepan kekangan kewangan, kami tahu yang pembedahan itu sangat penting dan perlu dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada otak dan memudahkan pengaliran keluar darah dari otaknya.
"Selepas tiga minggu ayah sudah boleh membuka kedua-dua matanya dan memberi respon ketika kami bercakap dengannya tetapi kami tidak pasti sama ada dia memahaminya atau tidak," katanya.
Beberapa hari selepas itu, Amirah mendapat berita bahawa MARA bersetuju untuk mendahulukan wang £30,000 (RM160,281.47) untuk tujuan rawatan.
Bagaimanapun, wang yang diberikan itu tidak mencukupi untuk menampung bil hospital yang meningkat hampir £2,000 (RM10,685.43) sehari.
Sehubungan itu, Amirah memulakan kempen Gofundme dua hari lalu untuk menampung kos perubatan selebihnya. Hasil dua hari kempen itu dijalankan, kutipan telah melebihi amaun yang disasarkan iaitu lebih £27,000 (RM144,253.32) hasil sumbangan rakyat Malaysia dan pelayar internet yang prihatin dari pelbagai negara.
Mereka sekeluarga berhasrat untuk membawa Mohamad Sahar pulang ke Malaysia kerana kos rawatan yang lebih murah namun masih menunggu kelulusan daripada pihak hospital dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
"Ayah sekarang berada di Unit Hyper Acute Stroke (HASU) kerana dia perlu menjalani sesi terapi. Doktor sudah memberi keizinan untuk kami membawa pulang ayah, tetapi dengan syarat dia perlu berbaring di pengusung sepanjang masa dan perlu ditemani doktor serta jururawat.
"Malaysia Airlines pula mencadangkan agar kami membeli beberapa tempat duduk kelas Ekonomi kerana ia antara pilihan yang murah, dan sekarang ini masih menanti maklum balas selanjutnya daripada mereka," katanya.
Bagi rakyat Malaysia yang mahu memberikan bantuan, boleh menyalurkannya menerusi https://www.gofundme.com/saharnoor.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/155186
Roti Tisu 29 Jul, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?