MAHASISWA universiti diancam sindrom 4K, iaitu Kuliah (kononnya hanya hadir mendengar syarahan, itupun tidak fokus), Kafeteria (hanya duduk membuang masa dengan melepak), Katil (bersahabat baik dengan katil dan tidur melampau) dan Komputer (hanya duduk dalam dunia maya sendiri, melayan media sosial dan tidak mahu bercampur gaul).
Sejauh mana perkara itu mengikis kualiti graduan lulusan universiti tempatan dan membayangi ketidakbolehpasaran graduan tempatan dalam pasaran kerja berkemahiran tinggi. Wartawan BH AHAD, NADIA HAMID menemubual Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik merangkap Pengetua Kolej Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Afandi Ahmad dan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Hazwan Syafiq Haznain.
S: Dr pernah menyebut sebelum ini, pelajar universiti perlu membuang khayalan tidak berasas seperti digambarkan dalam drama. Mengapakah perkara sedemikian berlaku?
J: Saya berpandangan pengaruh media hari ini sangat kuat. Remaja lebih cenderung melayari laman sosial, misalnya YouTube dan ledakan penggunaan media sosial ini memudahkan perkongsian pelbagai maklumat berbanding beberapa tahun dulu. Drama dihidangkan pembikin filem tempatan adalah wadah membentuk pemikiran masyarakat, walaupun saya akui nilai komersial itu tidak boleh diketepikan kerana 'filem kita wajah kita'.
Akan tetapi, jika kita lebih banyak dihidangkan dengan gambaran kehidupan di universiti hanya berkisar soal mencari pasangan di perpustakaan, konflik merebut cinta adam dan hawa antara senior dan junior, konflik gejala sosial remaja di universiti, sedikit sebanyak inilah yang menjadi wayang minda dan membentuk imaginasi golongan muda yang merintis kemasukan ke universiti. Mereka akan terus terbuai keasyikan dan keseronokan yang sebenarnya 'tidak ada' kerana jangkaan realiti sebenar berbeza. Kita selalu diingatkan, apa kita makan, membentuk tubuh kita. Apa didengar, boleh menjadi suara hati kita. Apa dilihat membentuk wayang minda kita.
S: Pendapat Dr mengenai pelajar terbabit sindrom 4K, satu amaran yang perlu diambil perhatian. Apakah cara menangani isu ini?
J: Saya ketengahkan sindrom 4K (Kuliah, Kafeteria, Katil, Komputer) kerana ia perkara serius. Pada 2011, apabila universiti memberi amanah sebagai Pengetua di Kolej Kediaman Perwira, saya mula mendekati kehidupan siswa dan siswi, khususnya pelajar tahun pertama. Berikutnya, ketika diamanahkan memimpin Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sebagai Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) pada 2012 dan Dekan (April 2015) sekali gus, masih memikul tanggungjawab sebagai Pengetua, menguatkan semangat saya untuk terus menyelami mahasiswa.
Saya melihat mereka dengan dekat dalam kedua-dua aspek, akademik dan pembangunan diri. Bagaimanapun, saya bimbang mereka terus hanyut dengan sindrom 4K ini. Misalnya, kuliah - ada yang berpandangan di universiti kita hanya perlu fokus kepada kuliah dan menjadi ulat buku. Mereka tidak langsung mahu terbabit aktiviti kolej atau fakulti kerana beranggapan tiada kaitannya dengan kuliah dan akademik mereka. Golongan inilah yang berada pada zon bahaya kerana cabaran selepas tamat pengajian jauh lebih mencabar.
Perkara kedua - Kafeteria, memang berlaku dalam kalangan kaki bergentayangan! Golongan pelajar sebegini biasanya berkumpulan, mempunyai niat tersendiri dan suka membazirkan masa. Apabila banyak masa dibazirkan untuk perkara tidak bermanfaat, tujuan utama ke universiti dikesampingkan. Asas pokok ketiga - Katil, di universiti kebanyakan masa tidur mereka berubah. Ada masanya perlu berjaga malam kerana menyelesaikan tugasan akademik, membuat persediaan program pelajar boleh dianggap keperluan. Tetapi, jika jadual tidurnya berubah seumpama lagu kanak-kanak 'nenek-nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga...' ini merunsingkan.
Akhirnya, waktu solat entah ke mana, kuliah pula semua diswastakan kepada rakan untuk mewakilkan. Katil menjadi sahabat sejati buat mereka dan ramai pelajar yang menghabiskan waktu malam dengan permainan komputer secara perseorangan mahupun berjemaah. Pada zaman saya mula-mula memasuki universiti sekitar 1997, komputer sangat asing. Tidak ramai memilikinya. Hari ini, hampir semua pelajar boleh memilikinya. Perkara ini perkembangan baik kerana satu keperluan, selain membantu pelajar belajar. Tetapi, ancamannya masih sama.
Permainan komputer, menonton video dan melayari internet tanpa kawalan. Boleh dikatakan, semua laman sesawang dilayari, dua bahkan lebih akaun Facebook, Twitter, Instagram, VSCO dan Snapchat. Ancaman ini akhirnya semakin bahaya dan membentuk sikap sebagai individu antisosial. Untuk menangani perkara ini, pelajar universiti kena mensyukuri nikmat peluang belajar. Pihak universiti, khususnya pensyarah berperanan mentafsir definisi cemerlang bukan dengan hanya banyak gred A.
Top 10 skills disenaraikan World Economic Forum pada 2020 jelas memberi isyarat negara memerlukan lulusan graduan seimbang, berilmu dan akhlak seperti gagasan lonjakan 1 PPPM (PT). Di universiti tiada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti di sekolah. Bagaimanapun, jangan sesekali memberikan kunci kebebasan sepenuhnya kepada anak di universiti. Kebebasan terkawal sangat penting, misalnya ibu bapa tahu rakan baik anak mereka di universiti. Sekali sekala pada cuti semester, cuba undang mereka hadir ke rumah. Penting, kerana kita bimbang anak yang mencari identiti diri boleh tersilap memilih rakan.
S: Dunia tanpa sempadan menyebabkan pelajar universiti berdepan banyak cabaran, antaranya diperkudakan pihak ketiga dengan menyertai skim tidak berfaedah. Sejauh mana perkara berkenaan boleh merosakkan pelajar kita?
J: Kesan dunia tanpa sempadan juga menjadikan siswa siswi semakin kurang membaca. Mereka hanya mempunyai sumber rujukan terhad, mudah percaya dan ada juga antaranya, tidak berfikir panjang. Pengaruh media sosial kepada mereka lebih banyak yang menjerat. Pelbagai aplikasi mereka ada. Sebut sahaja, hampir semuanya ada dalam telefon pintar mereka. Masa juga banyak dihabiskan leka dengan aplikasi ini.
Diperkudakan pihak ketiga? Inilah yang sangat kita bimbang. Pelbagai anasir negatif menular dan mudah meresap masuk. Jika pelajar tidak disempadani dengan nilai baik, kebebasan diberikan sepenuhnya kepada mereka, bimbang akan ada pihak menyesal di kemudian hari. Sebilangan pelajar yang menyertai perniagaan tidak sah, adalah kerana termakan pujuk rayu pihak ketiga yang cuba mengaburi mereka dengan gambaran kehidupan mewah.
Ada pelajar sanggup menipu ibu bapa meminta wang saku bulanan lebih untuk dijadikan modal, ada juga mengambil risiko dengan menggunakan wang pinjaman/biasiswa sendiri. Ada juga berani meminjam wang daripada rakan. Konsep perlu mencari ahli lain sebagai anggota menyebabkan pelajar leka, kerana memerlukan masa dan komitmen. Pelajaran entah ke mana, perniagaan tidak berjaya atau mereka ditipu.
S: Berada di universiti juga memerlukan strategi dan komitmen tinggi, khususnya sejak tahun pertama. Sehingga kini, berapa ramai pelajar berjaya melakukannya?
J: Saya suka mengambil contoh kejayaan atlet negara sebagai inspirasi. Selain nama unggul seperti Azizulhasni Awang, kini muncul Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail dalam Edisi ke-15 Sukan Paralimpik Rio yang banyak memberikan pengajaran. Kejayaan bukan suatu kebetulan, tetapi perlukan strategi dan komitmen tinggi. Sama sahaja di universiti, kita ingin menjadi bukan sekadar jaguh kampung tetapi juga graduan kompeten, seimbang ilmu dan akhlak rapi.
S: Benarkah pelajar universiti tidak disediakan mengikut kehendak pasaran kerja? Adakah tanggapan ini menyebabkan graduan lulusan tempatan tidak layak dibayar kadar upah sepadan kelayakan mereka?
J: Persoalan ini menarik dan sering saya bincangkan dalam sesi kuliah saya. Ada dua perkara, kurikulum di universiti dan keperluan pasaran kerja. Dalam aspek pembangunan kurikulum pengajian, aspek pandangan pemain industri termasuk bakal majikan diambil kira.
Untuk mengukuhkan hal ini, program kejuruteraan dilantik sebagai panel penasihat industri dan profesor adjung memberikan input berguna supaya pelajar disediakan dengan keperluan industri. Kedua, keperluan pasaran kerja perlu difahami sebaiknya, sama ada bakal majikan dan graduan. Pengajian di universiti adalah proses membina daya fikir, kematangan dan pembangunan diri.
Tiga domain iaitu kognitif, afektif dan psikomotor digembleng bersama agar graduan dilahirkan seimbang ilmu dan perlakuannya. Bagaimanapun, harus diakui selain faktor perkembangan ekonomi semasa yang tidak menentu dengan perkembangan teknologi semakin pantas memerlukan graduan bersedia fizikal dan mental.
Persiapkan 1,001 kemahiran diperlukan bakal majikan. Ketika ini, antara elemen penting dinilai bakal majikan adalah penyelesaian masalah kompleks. Perkara ini tidak diajar dalam kelas, tetapi memerlukan kemahiran tambahan iaitu fleksbiliti kognitif pelajar. Jika pelajar hanya fokus skor peperiksaan, sangat sukar. Pembabitan berpersatuan juga penting.
Bagaimana Pula Pandangan Anda?