KUALA TERENGGANU: Seorang jemaah haji Malaysia dari Terengganu, Zakaria Abdullah, 53, yang meninggal dunia di Masjidil Haram selepas selesai tunaikan solat Subuh, pagi semalam, sempat mengirim pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada isterinya, Roslina Abd Rahim.
Anak sulong arwah, Muhammad Alif Imran Zakaria, 19, berkata bapanya selalu mengirim WhatsApp kepada ibunya yang berusia 44 tahun untuk memaklumkan keadaan di sana dan sehingga malam tadi, kesihatannya dilaporkan baik walaupun mengalami selesema ringan.
Bagaimanapun, katanya, arwah bapanya itu memang mempunyai masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira empat tahun lalu.
"Ibu hanya mengetahui kematian bapa kira-kira jam 3 petang tadi melalui kumpulan WhatsApp yang diwujudkan khas untuk isteri jemaah haji tajaan Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kebetulan pula saya baru sahaja tiba di sini (Terengganu) pagi tadi dari Johor kerana pulang bercuti sempena Hari Raya Korban.
"Kami sekeluarga sangat terkejut dengan pemergian arwah, tetapi redha dengan ketentuan Allah memandangkan abah pergi pada hari dan bulan yang mulia apatah lagi di tanah suci yang amat diidam-idamkan oleh semua umat Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters Pertubuhan Peladang Kawasan Manir, di sini.
Aliff berkata, arwah bapanya sepatutnya bakal mengerjakan haji pada 2018 tetapi sudah rezekinya terpilih antara 75 peserta dari Terengganu untuk mengikuti Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1MDB tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Program Khas Haji Yayasan 1MDB, Datuk Jailani Ngah sempat meluangkan masa hampir sejam melawat keluarga Allahyarham.
Jailani berkata, jenazah Zakaria akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Ma'ala, Makkah.
"Arwah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tanah Lot Manir terpilih mengikuti program haji tajaan 1MDB berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang dan beliau juga seorang individu yang sangat baik.
"Sebagai Pengerusi Yayasan Satu Ummah, saya juga menawarkan isteri dan anak arwah untuk mengerjakan umrah akhir tahun ini atau tahun depan bagi membolehkan keluarga melawat kubur Allahyarham," katanya.

Oleh Farah Suhaidah Othman 09 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.