UNGA-71 terakhir bagi Obama dan Ki Moon, pertama untuk May

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama berucap pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di kota Manhattan, New York, Amerika Syarikat - Foto Reuters

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 mencatat sejarah tersendiri apabila ia menjadi majlis perhimpunan rasmi PBB terakhir dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang akan tamat tempohnya menjadi presiden tahun ini.

UNGA sesi ke-71 menjadi pentas kelapan dan terakhir bagi Obama sebagai Presiden AS berucap untuk menyampaikan mesej kepada dunia serta pemimpin kerajaan dan negara mengenai dasar serta pendirian AS dalam isu antarabangsa selain domestik.

Obama yang dijadual berucap pada jam 10 pagi semalam, sedikit terlewat tiba ke ibu pejabat PBB bagi menyampaikan ucapannya yang terakhir sebagai Presiden AS di hadapan 193 pemimpin negara sehingga menyebabkan Presiden UNGA bagi sesi kali ini, Duta Peter Thomson memberi laluan kepada Presiden Chad, Idriss Deby berucap.

Obama mengambil masa hampir 45 minit bagi menyampaikan ucapannya walaupun Thomson sebelum itu mengingatkan setiap pemimpin diberi masa 15 minit untuk berucap pada sesi berkenaan.

Obama dilantik menjadi Presiden AS ke-44 pada 20 Januari 2009.

Sementara itu, UNGA kali ini menjadi majlis rasmi terbesar dunia pertama dihadiri Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu, Theresa May yang dilantik pada 13 Julai lalu.

May yang juga Perdana Menteri wanita UK kedua, menjadikan UNGA pentas pertama beliau berucap dengan mengumumkan akan meningkatkan perbelanjaan bagi menangani masalah keganasan dan menyekat kemasukan ratusan ribu imigran berhijrah ke Eropah.

Beliau menyatakan komitmen UK untuk memberikan bantuan kewangan bagi membantu pelarian di Asia Barat dan Afrika selain akan menghantar lebih banyak tentera ke Somalia bagi membantu pasukan senjata negara itu menghadapi kumpulan al-Shabab.

UNGA kali ini juga adalah yang terakhir bagi Setiausaha Agung PBB yang kelapan, Ban Ki-moon yang mana penggal perkhidmatannya berakhir Disember ini selepas menduduki kerusi penting itu sejak tahun 2007.

Setakat ini, 12 calon disebut-sebut berhasrat untuk menggantikan tempat Ki-moon yang mana empat daripadanya adalah wanita. Pemilihan Setiausaha Agung PBB yang baharu akan diadakan akhir tahun ini.

Oleh Betty Subaryati 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?