
PENGUSAHA dodol dan serunding, Wan Sabariah Wan Ali, 68, (di tengah barisan kedua) bergambar semasa Aidilfitri tahun ini.
PASIR MAS: Pengusaha dodol dan serunding terkenal di Pasir Mas, Wan Sabariah Wan Ali, 68, meninggal dunia malam tadi, akibat kencing manis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
Anak lelakinya, Sazwira Sulaiman, 42, berkata ibunya menghembuskan nafas terakhir jam 8.10 malam di kediamannya di Lubok Jong, di sini.
"Arwah ibu menghidap penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu dan kebelakangan ini beliau kerap berpesan kepada anak-anaknya supaya jaga diri dan jaga perniagaan dengan baik.
"Jenazah disembahyangkan di rumah pada jam 10 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Lemal di sini, hari ini," katanya.
Allahyarham yang mempunyai lima anak terkenal sebagai pengusaha dodol, serunding yang berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan dan luar.
Mac lalu, BH menerbitkan artikel mengenai kejayaan perniagaan Wan Sabariah bersama suaminya Sulaiman Ismail, 80, serta keunikan banglo tiga tingkat milik mereka di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang yang kelihatan seperti kediaman agam filem Bollywood.
Banglo tiga tingkat itu mempunyai tujuh bilik tidur, tujuh bilik air dan dua ruang dapur dengan hampir keseluruhan ruang dihias dengan ukiran keemasan, menyebabkan sesiapa saja yang melalui kawasan itu kagum melihat kediaman itu.
Daripada Mohd Anwar Patho Rohman 20 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?