PUTRAJAYA: Program untuk menarik penyertaan golongan muda di negara ini perlu mempunyai pakej yang mampu menjana ekonomi bagi membolehkan mereka menerajui sektor ekonomi pada masa depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan, berkata program membabitkan golongan muda perlu diselitkan dengan kegiatan yang dapat membantu menambah pendapatan.
"Program santai seperti sukan permotoran berupaya menarik minat anak muda membabitkan diri tetapi perlu diselitkan dengan kegiatan yang memanfaatkan mereka untuk menjana pendapatan.
"Pendekatan serampang dua mata ini bukan saja dapat menggalakkan golongan remaja menyertai sukan atau riadah, sebaiknya membuka peluang mereka berdikari dan mencari punca pendapatan.
"Ia juga dapat mengelak mereka terjebak dalam gejala tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Unity Ride 2016 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Sivarraajh Chandran.
Program Unity Ride 2016 yang dianjurkan sempena Hari Malaysia itu merangkumi perjalanan sejauh 100 kilometer bermula dari Putrajaya dan berakhir di Brickfields, Kuala Lumpur, membabitkan 200 peserta.
16 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?