Persempadanan semula bukan untuk manfaat pihak tertentu - SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. -Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyangkal dakwaan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri Tanah Melayu dan Sabah dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata SPR menjalankan peranan dan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan kuasa meluluskan syor itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat.

Katanya, setiap Ahli Parlimen boleh membahaskan cadangan berkenaan semasa pembentangan Dewan Rakyat kelak.

"Adalah terlalu awal bagi SPR memberi sebarang ulasan kepada umum mengenai tuduhan kepada badan ini kerana proses pameran sedang dijalankan dan prosiding Siasatan Tempatan akan dilakukan selepas ini bagi menilai bantahan serta representasi daripada pembantah.

"SPR tidak akan membuat kenyataan mengenai isu kandungan syor berkenaan kerana ia masih di peringkat syor dan bukannya muktamad. Ia perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa persempadanan semula bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 berat sebelah bagi mengekalkan UMNO berkuasa.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula Khamis lalu sehingga 14 Oktober ini.

Mohd Hashim berkata, mana-mana pihak yang berkelayakan di bawah perundangan dalam membuat apa-apa bantahan atau representasi harus mengambil peluang dalam tempoh masa ditetapkan untuk turut serta dalam perundangan dan bukannya membuat tuduhan melulu terhadap badan itu.

"SPR amat mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.

Oleh Farah Suhaidah Othman 19 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?