
DATUK Seri Ismail Abd Muttalib.
MARAN: Malaysia menyasarkan 15 pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 19 hingga 29 September ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata antara bidang yang mampu memberi sumbangan pingat emas adalah automotif, perhotelan, penyejuk bekuan dan penyaman udara serta perkhidmatan seperti dandanan rambut dan persolekan.
"Potensi untuk mencapai sasaran memang ada walaupun pertandingan kali ini dijangka lebih sengit memandangkan peserta semakin matang dan berpengetahuan tinggi dalam mereka cipta serta inovasinya.
"Kita yakin sasaran ini dapat dicapai sejajar saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu Malaysia menjadi juara keseluruhan dalam semua pertandingan disertai," katanya pada majlis Korban Perdana Sehati Sejiwa Peringkat Parlimen Maran 2016 membabitkan 58 ekor lembu, di FELDA Jengka 7, dekat sini, hari ini.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran, berkata sebanyak sembilan negara ASEAN mengesahkan penyertaan pada ASC kali ini, membabitkan 25 bidang kemahiran, termasuk teknologi automotif, penyelenggaraan pesawat, pembuatan kabinet, memasak dan elektronik
Pada pertandingan sama di Hanoi, Vietnam, pada tahun 2014, Malaysia menang sembilan pingat emas, lima perak dan empat gangsa, sekali gus muncul naib johan keseluruhan.
Oleh Wan Kemat 13 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?