KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menganjurkan Kempen Derma Darah dan Ikrar Pendermaan Organ sempena sambutan Hari Malaysia di lapan lokasi di seluruh negara.
Kempen yang menjadi acara tahunan Allianz Malaysia sejak tahun 2014 itu akan bermula jam 10 pagi hingga 4 petang pada 3 hingga 24 September ini.
Antara lokasi kempen berkenaan adalah Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka.
Pengurus Cawangan Kuala Lumpur bagi Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Fang Suat Lim, berkata kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan tanpa mengira latar belakang.
"Ia bagi membantu orang lain yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Pihak kami turut bekerjasama dengan Pusat Sumber Transplan Nasional dan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia dengan membuka ruang pameran untuk pendaftaran menderma organ," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 19,000 warga Malaysia dilaporkan masih menunggu pemindahan organ dan kempen terbabit adalah langkah untuk memberi kesedaran mengenai pendermaan organ dalam kalangan orang ramai.
Sementara itu, kakitangan Allianz, S Barani Kumar, 30, berkata ini kali ketiga beliau menderma darah untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain.
"Saya akan terus terbabit dalam kerja amal seperti ini pada masa depan kerana bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Oleh Wan Kemat 13 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.