Kasih suami muda jaga isteri lumpuh

MOHD Sofri Ibrahim, mengelap muka isterinya, Zainu Yusoff, yang diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Tidak sampai setahun melayari alam perkahwinan pada 2012, ketabahan Mohd Sofri Ibrahim, 35, diuji apabila isterinya, Zainu Yusoff, 62, diserang angin ahmar.

Kini, sudah hampir empat tahun Mohd Sofri menjaga isterinya meskipun beliau terpaksa berulang-alik dari tempat kerja dua kali sehari untuk memandikan dan memberi susu.

"Saya tidak sanggup berpisah dengan Zainu yang diserang angin ahmar pada 2013 meskipun ada yang mencadangkan supaya isteri dihantar ke rumah orang tua. Biarlah saya menjaganya sampai bila-bila. Saya hanya tinggal berdua dengannya.

"Saya pernah dibuang kerja di sebuah stesen minyak di Kota Bharu kerana sering pulang namun saya tidak salahkan sesiapa kerana mereka tidak faham keadaan saya," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pasir Pekan, di sini.

Mohd Sofri melakukan banyak pekerjaan, antaranya mencari kotak untuk dijual, membersihkan bangunan dan pelbagai kerja untuk menyara hidup mereka berdua terutama perbelanjaan Zainu yang agak tinggi membabitkan kos lampin pakai buang dan susu.

Dengan pendapatan tidak menentu iaitu kira-kira RM250 sebulan, mereka bernasib baik kerana banyak pihak sedia membantu berikutan sikap Mohd Sofri yang peramah dan `ringan tulang'.

"Isteri menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan ia digunakan untuk keperluan lampin pakai buang serta susu. Ada kalanya ia tidak mencukupi dan saya terpaksa berhutang di farmasi.

"Pendapatan saya pula perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk belanja seharian dan bayaran sewa rumah," katanya.

Kisah perkahwinan Mohd Sofri dan Zainu pernah mendapat liputan media kerana keistimewaan jarak usia iaitu 27 tahun, namun perbezaan itu tidak menjadi halangan bagi mereka.

Oleh Betty Subaryati 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.