
KUMPULAN pertama seramai 440 jemaah haji Malaysia tiba di KLIA, pada jam 11.21 pagi tadi menerusi penerbangan Saudi Arabia SV5644. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SEPANG: "Cuaca panas sehingga mencapai 53 darjah Celsius seolah-oleh tidak terasa, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan mudah bagi saya."
Hamidah Sakirin, 55, adalah seorang daripada 442 jemaah haji pertama yang tiba di tanah air hari ini.
Beliau dan suami, Azmi Jaludin, 55, dari Kuantan, Pahang bersyukur kerana dapat menyempurnakan ibadat haji selepas sembilan tahun menunggu.
"Sebelum ini ada yang memberitahu mereka berdepan kesukaran termasuk di Padang Arafah, tapi Alhamdulillah, semuanya tersusun dan teratur bagi kami," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Dr Muhammad Syafiq Mohammad Isa, 27, berasa bertuah kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada usia muda selepas isterinya, Dr Hanisah Jefrey, 26, diberi peluang menunaikan haji tahun ini.
"Ini semua rezeki Allah kerana mulanya hanya isteri menerima panggilan menunaikan haji manakala saya dapat pergi kerana menjadi mahram.
"Alhamdulillah semuanya selamat. Walaupun baru tiba di tanah air, saya sudah rindukan suasana di sana," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlishah Abdul Ghani, berkata penerbangan terakhir membawa jemaah haji Malaysia dijadualkan tiba di tanah air pada 15 Oktober ini.
"Seramai 12 jemaah haji meninggal dunia pada musim haji kali ini. Kita sudah melaksanakan badal haji bagi sembilan jemaah, manakala tiga yang lain meninggal dunia selepas menunaikan haji," katanya.
Seramai 22,320 jemaah Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.
Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman 18 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?