Fenomena air pasang besar di Melaka terkawal

MOHD Fazli menunjukkan perahu milik penduduk Kampung Hilir Pantai yang hampir tenggelam akibat fenomena air pasang besar di Kuala Sungai Baru. - Foto Hassan Omar

MELAKA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengesahkan fenomena air pasang besar di sepanjang pesisir pantai di negeri ini terkawal, meskipun ketinggian ombak mencecah tahap maksimum 1.69 meter (m), Ahad lalu.

Pengarahnya, Mohamad Radzi Abdul Talib, berkata fenomena berkenaan mula dikesan pada 17 September lalu dengan ketinggian ombak berada pada 1.56m diikuti 1.69m pada 18 September, 19 September (1.66m), 20 September (1.61m) dan hari ini, 1.45m.

"Pada hari biasa, memang ada air pasang di kawasan pantai setiap hari di negeri ini dengan ketinggian satu meter, cuma ia (air) naik kira-kira setengah meter sejak air pasang besar berlaku.

"Kita juga dapati rekod sistem aras air yang boleh dilihat menerusi dalam talian, alirannya kini semakin menurun. Ia (air pasang) mungkin berlaku disebabkan kesan perubahan kedudukan bulan berada dekat dengan bumi," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Justeru, katanya, penduduk di Melaka tidak perlu khuatir kerana keadaan pantai masih terkawal walaupun hujan melanda kawasan terbabit beberapa hari lalu.

"Kita sentiasa menjalankan kerja pengepaman air keluar dari beberapa pintu baraj di Sungai Duyong, Sungai Melaka, Sungai Kesang dan Sungai Umbai bagi mengelak banjir," katanya.

Oleh Norzamira Che Noh 21 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.