
Pengerusi Masjid Saidina Umar al Khattab Bukit Damansara, Tan Sri Abd Aziz Abdul Rahman (tengah) beramah mesra bersama belia-belia ketika Program Sembang Santai Merdeka di Masjid Saidina Umar al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Saddam Yusoff
KUALA LUMPUR: Usia dan tenaga belia mesti digunakan sebaik mungkin bagi memastikan hasrat negara mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dapat direalisasikan.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abd Aziz Abdul Rahman, berkata harapan besar ini tidak boleh diketepikan kerana belia adalah pemimpin masa depan negara.
"Justeru, golongan belia perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang.
"Kira-kira 400,000 belia yang boleh mengundi tetapi yang berdaftar cuma 40,000 orang. Perkara ini perlu diberi perhatian serius," katanya ketika memberi ceramah dalam Forum Sembang Santai Merdeka Belia Bersatu di Dewan Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA), Bukit Damansara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.
Forum yang dikendalikan oleh Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Tan Sri Sulaiman Mahbob itu turut disertai penceramah dari Penggerak Belia dan ahli Majlis Perundingan Belia Negara, Datin Ida Harlina Ikhwan dan Presiden Biro Profesional Muda, Malaysia, Shahril Hamdan.
Sementara itu, Ida Harlina turut mengajak belia menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai satu platform memperkasakan diri, seterusnya menjadi pelapis kepemimpinan masa depan.
"Adalah penting untuk belia mengasah bakat diri dalam menepati keperluan majikan dengan menyertai NGO berdaftar," katanya.
Forum itu turut disertai Persatuan Anak Muda Bukit Damansara (PAMBD), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Sahabat YADIM, dan Parlimen Mahasiswa Malaysia.
Oleh Siti Rohana Idris 17 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?