Agong jadi Canselor pertama Kolej Universiti Widad

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar kenangan selepas Istiadat Pemasyhuran Canselor Widad University College di Istana Negara hari ini. Yang turut hadir Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Perniagaan Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah (kiri). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dilantik sebagai Canselor pertama Kolej Universiti Widad.

Majlis Pemasyhuran baginda sebagai Canselor berlangsung di Dewan Seri Maharaja Istana Negara di sini, pagi ini.

Baginda bertitah, penerimaan pelantikan itu adalah atas keazaman baginda yang amat mementingkan daya maju sektor pendidikan tinggi negara dilestarikan ke peringkat antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat itu, titah baginda, Kolej Universiti Widad diharap dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pengajian yang boleh menarik perhatian penuntut antarabangsa.

"Bidang pengajian sains seperti perubatan, pergigian dan farmasi elok diperkasakan supaya Kolej Universiti Widad dapat berdiri setanding universiti lain di negara ini dan pada peringkat antarabangsa yang menawarkan bidang pengajian sama.

"Beta menyeru pihak yang berkaitan dengan pendidikan, khususnya pada peringkat pendidikan tinggi, supaya membantu Kolej Universiti Widad ke arah mencapai matlamat terbabit," titah baginda pada majlis itu.

Yang turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching; dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Perniagaan Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Oleh Farah Suhaidah Othman 19 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.