
Datuk Idros Yahya.
JERANTUT: Sebanyak RM6.39 juta kerugian dicatat membabitkan 142 kes penipuan pakej umrah dan haji di seluruh negara sejak tahun 2014 hingga bulan lalu.
Mengikut rekod Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, daripada jumlah itu, sebanyak 64 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM2.25 juta dilaporkan pada tahun 2014, manakala 45 kes dengan kerugian RM2.40 juta pada tahun 2015 dan 33 kes dengan kerugian RM1.73 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri, Datuk Idros Yahya, berkata kementerian itu juga sudah membatalkan 12 syarikat pengendalian umrah sejak tahun 2009 kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.
Pada tahun 2012, beliau berkata, kementerian itu turut menerima 214 aduan mengenai pakej umrah dan sudah mengeluarkan kompaun berjumlah RM 362,000 yang membabitkan 71 kes yang melakukan pelbagai kesalahan.
"Orang ramai diminta berhati-hati dengan tawaran pakej umrah murah atau wakil ejen yang mereka tidak kenali. Pelbagai teknik digunakan oleh mereka untuk menarik orang ramai termasuk menggunakan ikon ustaz terkenal tanpa pengetahuan mereka bagi menarik minat orang ramai menyertai pakej umrah yang dianjurkan," katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah Peringkat Negeri Pahang di Felda Residence Tekam, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perlesenan Pelancongan KPK, S Suriya Kumar dan Pegawai Turus Siasatan Kes Fail, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Superintendan Azhar Ahmad.
Idros berkata, pihaknya juga turut menyasarkan 15 kempen kesedaran umrah dan hak kepenggunaan dengan mensasarkan kepada kakitangan kerajaan, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengurusan masjid dan pemimpin tempatan bagi mengenal pasti agensi umrah yang berlesen.
Oleh Roselan Ab Malek 08 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?