132 di tiga pusat pemindahan banjir di Kuala Muda

SUNGAI PETANI: Seramai 132 orang daripada 30 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Kuala Muda, di sini, berikutan banjir susulan fenomena air pasang besar yang turut melanda daerah ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Muda, berkata hingga jam 6 pagi ini semua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga pusat pemindahan yang masih dibuka, selepas sejumlah besar daripada mereka mula dibenar pulang secara beransur-ansur.

"Bagi mukim Kuala dan Haji Kudong, dua pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala menempatkan tiga keluarga dengan lapan mangsa, selain 17 keluarga dengan 85 mangsa lagi ditempatkan di Dewan Kampung Paya.

"Di Bukit Meriam pula, 39 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di surau Kampun Sungai Yu, di sini," katanya.

Semalam, 432 penduduk membabitkan 113 keluarga di beberapa kampung di Kota Kuala Muda terpaksa dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki banjir akibat fenomena air pasang besar yang melanda beberapa negeri termasuk Kedah.

JBPD Kuala Muda dalam masa sama meminta orang ramai berwaspada dan sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat berikutan jangkaan fenomena air pasang besar berterusan.

Oleh Nor Farhani Che Ad 20 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?