Alasan Fattah Tidak Mahu Berlakon, Mira Tunggu Hero Baharu

 Mengikut perancangan asal, Mira Filzah sekali lagi akan bergandingan dengan Fattah Amin selepas mereka berlakon bersama dalam drama Ketupat Palas Mr Handsome dan telefilem Ustaz Enjin.

MIRA di samping Ammar dan issey mengacarakan 3 Juara.

Bagi gandingan ketiga itu, mereka sepatutnya menjayakan drama Cik Serba Tahu untuk siaran Astro.

Dijangka memulakan penggambaran sekitar Disember, ia juga pertaruhan pertama Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 itu untuk menembusi saluran berbayar berkenaan.

Namun, menerusi maklumat terbaharu, Fattah dikatakan takkan terbabit dalam drama itu. Malah, ketika ditemui semalam, Fattah mengatakan beliau akan berehat panjang sehingga ke hujung tahun.

Jadi, siapa pula yang bakal menjadi hero bergandingan dengan Mira menerusi drama adaptasi novel itu?

"Sampai sekarang saya memang belum tahu siapa pelakon lelaki yang akan berlakon dengan saya dalam drama itu. Begitupun, saya memang akan meneruskan penggambarannya seperti biasa kerana pihak produksi Astro sudah pun menyatakan persetujuan mereka sejak April lalu.

"Saya juga pastinya teruja kerana ia umpama 'first baby' saya dengan saluran berbayar itu. Tambahan pula, ia akan disiarkan menerusi slot yang menarik. Sesiapapun yang bakal jadi hero nanti, saya harap semuanya akan melakukan yang terbaik untuk drama ini," katanya.

Sementara itu, saat ini Mira turut menggalas amanah sebagai hos 3 Juara siaran TV3 di samping Ammar dan Issey. Rancangan yang menyaksikan pertandingan tiga kategori iaitu Balada, Irama Malaysia dan Rock itu semakin mendapat perhatian peminat berikutan bakat hebat ditunjukkan pesertanya.

"Saya baharu berasakan impak dan demam program 3 Juara ini pada minggu keempat (Ahad lalu). Ini kerana pusingan 'battle' baharu bermula. Sebelum ini, ia lebih kepada konsert pengenalan peserta setiap kategori. Saya percaya, program ini mula mencuri perhatian penonton sedikit demi sedikit.

"Malah, selepas minggu keempat berlangsung, saya nampak komen positif penonton dan peminat seni yang sukakan konsep 3 Juara ini. Saya sendiri menyukai konsepnya dan belum ada mana-mana produksi yang menghasilkan konsep seumpama itu apabila tiga genre berentap sesama sendiri," katanya,

Tambah Mira, bulu romanya meremang apabila melihat persembahan peserta 3 Juara, minggu lalu.

"Tidak dinafikan kualiti peserta sangat bagus. Suara mereka pun amat unik," katanya yang mengaku mula mendapat keserasian bersama dua lagi hos program itu.

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?