PROGRAM World#QuranHour.
KUALA LUMPUR: Program World#QuranHour pada 11 September ini diharap mampu memperbetulkan persepsi masyarakat dunia mengenai al-Quran dan zatnya sekali gus menjadi panduan dalam menjana perpaduan umat Islam.
Timbalan Rektor Pengantarabangsaan dan Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdelaziz Berghout, berkata World#Quranhour dapat mengubah pandangan Muslim dan orang bukan Islam mengenai al-Quran.
"Kebelakangan ini, sering kali Islam di salah erti dan masyarakat negara Islam di seluruh dunia juga bertelagah sesama sendiri. Menerusi program sejam bersama al-Quran ini, kita harap kitab suci ini menjadi penyatuan kepada umat Islam.
"Untuk membetulkan imej Islam, kita perlu kembali kepada ayat al-Quran, ..paling penting kita bukan hanya membaca al-Quran tetapi memahaminya dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian," katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Sinergi Media Untuk Kempen World#QuranHour di UIAM Gombak, di sini.
Dr Abdelaziz berkata, dijangkakan seramai 10 juta pembaca al-Quran seluruh dunia termasuk 2.8 juta daripada negara ini ketika acara itu yang akan berlangsung pada 9 Zulhijrah ini.
World#QuranHour di Malaysia akan diadakan di Masjid Ahmad Shah, UIAM Gombak dan dijangka disertai 5,000 orang yang akan diadakan serentak di 630 lokasi seluruh negara.
Program berkenaan turut membabitkan 50 negara termasuk Australia, Mesir, India, Russia dan Indonesia.
Program World#QuranHour adalah kesinambungan inisiatif sejak tahun 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh negara yang menawarkan pengajian al-Quran percuma.
07 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?