TOKYO: Aidiladha tetap diraikan pelajar Malaysia di Wilayah Kumamoto, pulau di selatan Jepun yang terbabit dengan kejadian gempa bumi sehingga mengorbankan lebih 40 nyawa dan mencederakan lebih 1,000 mangsa pada April lalu.
Ahmad Aslam Lokman, 22, pelajar Tahun Satu Sarjana Kejuruteraan Mekananikal tajaan MARA di Universiti Kumamoto berkata mereka menyambut hari raya korban bersama 300 masyarakat Muslim yang menetap di kawasan itu yang terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi dan Afghanistan.
"Sambutan sederhana namun meriah, kami bergotong royong memasak dan membuat persiapan malam tadi (semalam) dan menyambutnya hari ini (pagi semalam) dengan mengadakan solat sunat di masjid Kumamoto.
"Jamuan ringkas disediakan terdiri daripada menu briyani kambing, nan, kari kambing dan ayam serta nasi putih. Aktiviti korban tidak diadakan secara terbuka di sini namun ramai komuniti Islam yang mengambil bahagian melakukan ibadah korban.
"Walaupun pelajar Malaysia di sini tidak ramai, namun kemeriahan tetap terasa walaupun jauh di perantauan," katanya.
Beliau yang berasal dari Terengganu dan juga Ketua Komuniti di masjid berkenaan, berkata gegaran kuat berukuran 7.3 magnitud yang melanda kepulauan Kyushu, April lalu masih meninggalkan kesan sehingga hari ini.
Katanya, lebih 100 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan kerana kediaman mereka rosak dan tidak selamat diduduki.
"Banyak juga bangunan diwartakan tidak selamat terutama di kawasan gegaran kuat tragedi, kira-kira setengah jam dari universiti kami.
"Ada bangunan yang dibaik pulih dan kami bernasib baik rumah kami selamat didiami walaupun gegaran kecil masih berlaku sehingga hari ini," katanya.
Ahmad Aslam berkata, beliau dan 11 lagi pelajar Malaysia di universiti itu turut berterima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA yang membantu menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka bagi membeli peralatan yang rosak dalam kejadian itu.
Oleh Faiza Zainudin 12 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?