Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (dua kiri) diiringi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak (kiri) bersalaman bersama Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) di Program Dialog Bersama Ketua Polis Negara Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Dewan Mu'adzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM). - Foto Sharul Hafiz Zam
BUKIT KAYU HITAM: Malaysia tidak akan sekali-kali menjadi sebuah negara polis kerana bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri tertakluk kepada undang-undang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berhubung isu terbabit yang disiarkan sebuah portal berita.
Mengulas lanjut, beliau percaya Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sengaja mempolitikkan isu apabila mempersoalkan sama ada Malaysia sudah menjadi sebuah negara polis, selepas kononnya Ketua Polis Negara tidak boleh ditegur.
"Mana mungkin Malaysia menjadi negara polis kerana PDRM tertakluk sendiri kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan Perlembagaan.
"(Guan Eng) jangan nak politikkan isu ini...kalau nak tegur membina, saya terima kerana mana boleh kita tak terima teguran...tetapi kalau nak jatuhkan dan nak tuduh kita berat sebelah, itu tak boleh terima.
"Negara kita ada undang-undang dan ada peraturan, ia tidak akan menjadi negara polis kerana jika kita tak patuh kita akan diambil tindakan...kami (PDRM) juga subjek kepada undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Dialog Bersama Ketua Polis Negara: Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini sebentar tadi.
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 21 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?