PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan dan Perlancongan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (dua dari kanan) melepaskan peserta konvoi Kembara Eropah Tahun Melawat Pahang 2017 di pekarangan pejabat Tourism Pahang. - Foto Khairull Azry Bidin
KUANTAN: Konvoi sejauh 17,000 kilometer menerusi laluan darat bagi mempromosikan Tahun Melawat Pahang 2017 yang bermula dari Kuantan, Pahang menuju ke United Kingdom memulakan siri penjelajahannya pagi ini.
Majlis pelepasan konvoi 17 kenderaan pacuan empat roda dan disertai 68 peserta dari pelbagai organisasi itu disempurnakan penaung program kembara Tahun Melawat Pahang 2017 yang juga EXCO Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar serta Ketua Ekspedisi Kembara Tahun Melawat Pahang 2017, Datuk Zamri Mohamed.
Konvoi selama 50 hari itu akan melalui 11 negara iaitu Thailand, Laos, Kazakhstan, Russia, Belarus, Poland, Jerman, Belanda, Belgium dan Perancis, dengan perjalanan paling panjang adalah di China.
PESERTA konvoi bergambar kenangan sebelum memulakan siri penjelajahan pagi ini.
Objektif penjelajahan itu bertujuan menarik pelancong luar, disamping memenuhi sasaran untuk mencapai 15 juta kehadiran pelancong ke negeri itu tahun depan.
Beberapa program bagi mempromosikan destinasi menarik di Pahang akan dibuat di lima tempat iaitu Kunming dan Chengdu, China; Astana, Kazakhstan; Moscow, Russia serta pameran pelancongan terbesar dunia, 'World Travel Market' di kota London, dijadual 8 dan 9 November depan.
Konvoi menguji ketahanan minda dan tenaga itu turut disertai dua wakil daripada The News Straits Times Press (M) Berhad yang akan membuat liputan sepanjang pengembaraan itu.
Selain wakil media dan pihak Tourism Pahang, konvoi turut disertai dua pegawai perubatan serta pasukan teknikal kenderaan.
24 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?