MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani semalam menjawab dakwaan dilontarkan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mengenai hal ekonomi negara.
Ia berkaitan ingatan Kadir yang dipetik menerusi penulisannya di sebuah akhbar, meminta Ahli Parlimen Titiwangsa itu supaya lebih telus dan berterus terang mengenai kenyataannya bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah antara terbaik di Asean.
Dalam jawapan balasnya semalam, Abdul Ghani menjelaskan kenyataan itu sebenarnya dibuat bagi memberi kefahaman kepada seorang rakannya iaitu pelabur dari Singapura, yang membangkitkan kemusykilannya kemungkinan Malaysia di ambang kebankrapan.
"Beliau menghantar kepada saya artikel melalui WhatsApp mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang beliau terima dengan menyatakan ekonomi Malaysia akan muflis dalam jangka masa enam bulan, nilai ringgit akan jatuh ke tahap RM5 berbanding satu dolar Amerika Syarikat, rizab bank negara tidak sampai RM100 bilion.
"Kedudukan ekonomi negara mengalami pertumbuhan negatif, hutang negara tinggi mendadak, sistem perbankan sangat rapuh dan ekonomi negara hanya bergantung pada hasil minyak dan dengan kejatuhan harga minyak negara akan muflis," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan, terpanggil menjawab kemusykilan itu bagi meredakan kebimbangan pelabur berkenaan.
"Sekiranya saya tidak menjawab, pelabur dari Singapura itu akan berfikir bahawa artikel yang memburukkan Malaysia yang di'share'kan kepada saya itu kesemua faktanya adalah benar.
"Kemungkinan pelabur itu akan hilang keyakinan, negara akan terlepas peluang pelaburan asing dan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dari pelaburan berkenaan juga akan tergugat," katanya.
Abdul Ghani menjelaskan kesemua jawapan yang ditulis itu juga adalah fakta yang diterbitkan oleh laporan rasmi ekonomi negara dan juga Bank Negara Malaysia.
Oleh Magendran Rajagopal 14 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?