Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl.
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) perlu membentuk sebuah jawatankuasa bebas dianggotai semua pemegang kepentingan bagi menyiasat gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl, berkata ini untuk memulihkan keyakinan awam berikutan gangguan di laluan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 September lalu.
"Jawatankuasa ini mestilah bersifat kekal. Isu lain seperti kenaikan tambang, fasiliti dan tahap perkhidmatan boleh juga ditangani demi memenuhi harapan pengguna," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ajit Johl, menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi menangani isu dan insiden baru-baru ini membabitkan perkhidmatan LRT.
Ajit Johl berharap PRASARANA akan juga menentukan semua langkah keselamatan diperiksa berikutan tindakan pengosongan gerabak 9 September, di mana penumpang dibantu keluar dan berjalan di landasan yang disifatkan amat berbahaya.
"Mereka (PRASARANA) perlu menyediakan pelan pengosongan gerabak yang lebih sempurna bagi kes darurat. Nasib baik tidak ada yang cedera," katanya.
Pada 7 September lalu, kerosakan pada sistem isyarat dan komunikasi melambatkan tren LRT antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi ketika waktu sibuk sebelah pagi.
Ini menyebabkan ramai penumpang terkandas di beberapa stesen sebelum perkhidmatan pulih pada 1.15 tengah hari.
Pada 9 September lalu, tren dari Datuk Keramat menuju Jelatek tiba-tiba terhenti antara stesen Datuk Keramat dan Damai pada jam 9.10 pagi, menyebabkan penumpang terkandas selama 20 minit sebelum seseorang membuka pintu dari luar dan memberitahu mereka mengosongkan kereta api.
Penumpang berjalan di atas landasan ke stesen Damai, dalam masa 10 minit. - BERNAMA.
15 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?