GERHANA Bulan Penumbra pada jam 11.25 malam ini dijangka memberi kesan terhadap peningkatan air pasang sehingga 3.75 meter di muara Sungai Johor. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menutup baraj Sungai Johor mulai jam 9 malam ini sehingga esok berikutan jangkaan peningkatan air pasang di muara Sungai Johor melebihi satu meter, kesan Gerhana Bulan Penumbra.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata pihaknya sudah mendapatkan persetujuan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menutup baraj berkenaan.
Katanya, tindakan itu diambil bagi mengelak masalah penerobosan air masin ke dalam Sungai Johor hingga menjejaskan loji penapisan untuk membekalkan bekalan air bersih.
"Kita mengambil kira pandangan Bahagian Falak Jabatan Mufti Johor dan kerajaan Johor akan menutup baraj di Sungai Johor yang disiapkan baru-baru ini bagi mengelak penerobosan air masin.
"Penutupan baraj akan dilakukan secara manual bermula jam 9 malam ini sehingga esok," katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Falak, Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak, berkata Gerhana Bulan Penumbra pada jam 11.25 malam ini dijangka memberi kesan terhadap peningkatan air pasang sehingga 3.75 meter di muara Sungai Johor.
"Malam ini, muara Sungai Johor dijangka menghadapi air pasang besar peringkat kedua.
"Biasanya ketinggian air pasang ialah 3.5 meter tetapi boleh meningkat kepada 3.75 meter kerana jarak masa antara detik bulan penuh purnama dengan titik tengah tidak melebihi 24 jam.
"Sekiranya aliran air tawar di Sungai Johor berkurangan malam ini, air masin akan masuk ke dalam sungai.
"Bagaimanapun, air hujan yang melimpah sehari dua ini membolehkan penguasaan air tawar di Sungai Johor dan Sungai Muar," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Oleh Muhammad Mustakim Ramli 16 Sep, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?