BH ungguli dua kategori Anugerah Media Johor

WARTAWAN BH, Muhamad Badrul Kamal Zakaria (kiri) dan Mohamed Farid Noh bersama hadiah kemenangan masing-masing pada Anugerah Media Johor di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Wartawan BH memenangi dua kategori pada Anugerah Media Johor yang diadakan di sini, hari ini. 

Muhamad Badrul Kamal Zakaria memenangi anugerah kategori Berita Pelancongan Kebudayaan Terbaik menerusi laporannya bertajuk Misteri Gunung Ledang. 

Mohamed Farid Noh pula mengungguli Kategori Berita Ekonomi Terbaik menerusi laporannya bertajuk Dulu Ulat Tiket, Kini Taukeh Bas. 

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil. 

Wartawan TV3, Muhammad Nazri Muhammad Nor Azmi Ng dan Yahya Kiprawi pula memenangi kategori Liputan Berita Pelancongan TV Terbaik menerusi laporan bertajuk Songkok Daerah Johor Bahru. 

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan, Penerangan dan Koperasi Johor, Datuk Md Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Presiden Kelab Media Johor, Muhamad Fauzi Ishak. 

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, wartawan bukan menjadi penyampai berita, tetapi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan kebenaran. 

"Bukannya helai-helaian aksara yang menjauhkan atau mengaburkan pandangan masyarakat dari kebenaran. 

"Laporlah dengan adil, dengan ilmu, dengan dapatan yang tidak boleh disanggah, dengan kajian dan berilah pencerahan," katanya. 

Anugerah Media Johor kali ini masih mengekalkan 17 kategori membabitkan media cetak dan media elektronik termasuk fotografi minat insani, penyiar radio, wartawan dan jurukamera televisyen serta liputan berita tv terbaik. 

Pada penganjuran kali sebanyak 364 penyertaan diterima berbanding 313 pada tahun lepas mewakili empat bahasa yang dipertandingkan, selain kategori fotografi, televisyen dan radio.

07 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?