15 Tips Ini Dapat Membantu Anda Dalam Pengembaraan Merentas Dunia


Bukan mudah untuk menyesuaikan diri apabila berada di sesebuah tempat, lebih-lebih lagi jika ianya merupakan kali pertama berada di tempat berkenaan yang jauh dari negara asal. Sedikit sebanyak situasi janggal akan wujud dikala menyusuri sesebuah kampung atau bandar, di mana banyak mata-mata yang memandang diri ini, yang tahu kiata adalah seorang pengembara.

Bagi seseorang yang sukar untuk berinteraksi dengan orang yang baru dikenali, mungkin akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Tapi, ianya agak mudah, jika kita sudah biasa atau tahu cara bagaimana untuk menikmati pengembaraan di negara luar. 

Admin ada terbaca akan perkongsian seorang pemuda yang telah mengembara ke 93 buah negara, tentang tips penting yang boleh diamalkan sepanjang berada di tempat asing. Jadi, admin ingin kongsikan coretan, atau tip berguna dari saudara Zaid Traveler dari pengalaman beliau sendiri, jom membaca!

Perkampungan setinggan. Sri Lanka. Pakcik ini mengeringkan ikan bukan untuk dijual, tetapi sebagai persediaan bekalan makanan pada musim tengkujuh.


15 tip penting yang saya amalkan sepanjang 14 tahun mengembara dunia ke 93 buah negara.

Tahun 2002 merupakan kali pertama saya melangkah keluar dari Malaysia bersendirian, pada ketika itu saya berumur 16 tahun, perasaan risau dan gusar bertukar menjadi yakin dan bersemangat sebaik menaiki kapal terbang menuju ke Amman Jordan, semenjak dari situ saya terus mengorak langkah mengembara dunia, Alhamdulilah. Sepanjang pengembaraan berbagai pengalaman pahit manis telah saya lalui, mungkin dengan sedikit perkongsian tip ini dapat membantu anda untuk mengembara dunia :

1- Sabar dalam segala hal.
Walau apapun yang berlaku sepanjang pengembaraan, sabar adalah kunci paling utama. Jangan cepat marah atau merungut bila berlaku sesuatu masalah yang tidak dijangka. Ingat semula tujuan kita mengembara ialah ingin merasai pengalaman melihat dunia luar sambil melihat kebesaran ilahi. InshaAllah pengembaraan akan menjadi lebih bermakna walau berbagai rintangan terpaksa ditempuh.
2- Simpan tunai dalam poket rahsia.
Elakkan simpan tunai dalam satu tempat, jika anda bawa 600 dolar, simpan di tiga tempat berbeza, jika berlaku sesuatu masalah yang tidak dijangka seperti kena samun dan dompet tercicir, anda masih ada tunai kecemasan. Salah satu tempat kegemaran saya simpan tunai ialah dalam stokin, adakalanya saya simpan dalam seluar d***m, opss kantoi..haha (Bergantung pada situasi dan tempat yang kita pergi)

3- Bangun awal pagi.
Orang berjaya selalunya akan bangun awal pagi mencari rezeki, begitu juga dengan mengembara, waktu pagi adalah masa yang paling seronok untuk berjalan. Penjenayah dan scammer juga biasanya masih tidur pada waktu pagi, jadi perjalanan pastinya lebih aman pada waktu pagi.
4- Jangan kedekut senyuman.
Ingat kita berada di negara asing yang kita sendiri tidak tahu keadaan persekitarannya. Senyuman manis kita akan membuat masyarakat tempatan lebih senang untuk berinteraksi dengan kita. Perjalanan kita juga akan menjadi lebih manis.
5- Duduk di jalanan.
Salah satu cara terbaik untuk merasai kehidupan masyarakat setempat. Ambil masa 3 hingga 4 jam, bawa air dan makanan ringan, cari satu sudut di kawasan orang lalu lalang, duduk dan perhatikan keadaan sekeliling, saya yakin anda akan mendapat sesuatu pengalaman unik yang mungkin akan menghasilkan tiga buah buku jika ditulis.

6- Sediakan backup dokumen.

Tak kiralah ke mana anda keluar mengembara, backup dokumen sangat penting, jangan ambil mudah, buat beberapa salinan paspot, kad pengenalan dan lesen memandu, jika terjadi kehilangan paspot, salinan dokumen sangat membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7- Tangkap gambar sejuta kali.
Biarlah orang kata jakun sekalipun, dah memang kita jakun baru sampai, tangkap gambar puas-puas, nak melompat ke apa tak kisah, bukan senang nak sampai kan. Jangan malu nak tangkap gambar banyak-banyak walaupun kamera yang anda guna hanya jenis Samsung Galaxy tahun 2010. Setiap keping gambar tersimpan seribu kenangan.

8- Bermesra dengan orang tempatan.
Jangan malu dan takut untuk bertegur sapa, gunakan peluang yang singkat untuk mengenali hati budi orang tempatan, biarpun mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa inggeris, bahasa ayam itik dan isyarat sudah cukup istimewa untuk dijadikan kenangan bila pulang ke tanah air nanti. Siapa sangka dalam ramai-ramai yang kita tegur itu salah seorang akan menjadi sahabat kita, atau mungkin juga akan bertemu jodoh antara dua benua.
9- Backup gambar.
Ini juga sangat penting, beribu ringgit habis beli tiket, berpanas terik tangkap gambar, akhir sekali kamera hilang, memang sangat tragis bila berlaku begini. Setiap kali pulang ke hotel penginapan, rajin-rajin lah buat backup gambar dalam hard disk dan juga online seperti google drive. Saya sendiri pernah kehilangan semua gambar semasa mengembara ke eropah beberapa tahun lepas, yang lebih tragis saya tiada backup. Redha dan pasrah sahaja.
10- Jangan gusar dengan propaganda media.
Kadang kala apa yang dilihat dalam television tidak sama seperti situasi sebenar di negara tersebut. Sebagai contoh, Pakistan dan Afghanistan dua buah negara yang tidak pernah aman dengan bom sana sini, tetapi masih ramai pengembara yang pergi ke sana untuk melihat keindahan dan keunikan lembah gunung ganang negara tersebut. Buat sedikit kajian tentang negara yang ingin kita pergi, mohon petunjuk dari ilahi, inshaAllah anda akan menjadi lebih yakin untuk melangkah masuk ke negara tersebut.

11- Sesat jalan kenangan yang paling indah.
Salah satu cara unik untuk teroka sesebuah tempat ialah pergi berjalan ke kawasan yang kita sendiri tidak tahu apa yang ada di sana. Tetapi sebelum itu pastikan anda sudah mencatat nama dan alamat hotel, jika tersesat mudah untuk kita pulang ke hotel. Menjadi kebiasaan saya bila sampai ke satu tempat, saya akan naik apa-apa pengangkutan awam dan berhenti di mana-mana perhentian secara rawak. Usah khuatir akan sesat jalan, dari situ anda akan lebih cepat tahu selok belok tempat tersebut. Sangat seronok!
12- Jangan tamak!
Mengembara ke satu destinasi dalam masa tujuh hari lebih indah dan lebih kepuasan dari mengembara ke 7 buah negara dalam masa 7 hari, jangan amalkan kembara ala touch n go, sangat rugi. Hayati satu persatu destinasi yang kita pergi.
13- Tulis nota.
Memori kita tidak selamanya akan kekal dalam ingatan, catat apa-apa maklumat penting tempat yang anda pergi seperti nama orang yang anda jumpa, nama jalan yang anda sesat dan sebagainya. Jadikannya seperti sebuah diari kembara.

14- Jaga kesihatan sebaiknya.
Amalkan pemakanan dan cara hidup yang sihat, sentiasa bersenam. Kesihatan yang baik nadi utama pengembaraan. Setiap pagi paling kurang lakukan senaman santai selama 10 minit, pasti pengembaraan anda akan lebih seronok dengan tubuh badan yang sihat.
15- Jaga Solat!
Ini paling penting! Sebagai orang islam, tiada yang lebih mustahak daripada solat, tidak kira ke mana anda mengembara, solat wajib diutamakan. Jika tidak sempat sampai ke bilik hotel, bawah tangga juga boleh solat. Bila kita jaga solat, inshaAllah Allah akan menjaga kita.

Semoga bermanfaat.

Roti Tisu 22 Sep, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?