SEGAMAT: Polis menahan seorang remaja perempuan yang didakwa cuba membunuh bayi lelakinya berusia dua minggu, dengan cara memasukkan cecair antiseptik ke dalam botol susu bayi itu, di sini.
Dalam kejadian Ahad lalu, perbuatan remaja berusia 17 tahun itu disedari oleh sepupu lelakinya berusia 30-an yang curiga selepas mendapati kandungan cecair antiseptik yang baru dibeli dan disimpan di rumahnya di sebuah taman perumahan di bandar Segamat semakin berkurangan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, lelaki berkenaan mengesyaki sepupunya cuba melakukan sesuatu ke atas bayi itu menggunakan cecair antiseptik berkenaan.
Terdahulu, katanya, remaja perempuan berkenaan dikatakan bertengkar dengan teman lelakinya dipercayai akibat situasi mereka yang terlanjur sehingga melahirkan anak.
"Ketiga-tiga mereka tinggal sebumbung dan pada hari kejadian sepupu remaja perempuan itu terdengar dia akan membunuh diri dan mencederakan bayinya ketika bertengkar dengan teman lelakinya.
"Difahamkan pertengkaran berpunca daripada status kelahiran bayi itu kerana teman lelaki remaja berkenaan akan mendaftarkan kelahiran selepas mereka berkahwin sebaik habis tempoh pantang," katanya di sini, pada Selasa.
Mohd Kamil berkata, bimbang dan mengesyaki remaja perempuan itu mencampurkan cecair antiseptik ke dalam botol bayi berkenaan, sepupunya menghantar bayi itu ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk pemeriksaan dan membuat laporan polis.
Katanya, suspek kemudiannya ditahan reman tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh ke atas bayi sendiri.
"Selain itu, ujian saringan darah dan DNA bayi dijalankan serta menyerahkan botol cecair antiseptik serta botol susu untuk dianalisa Jabatan Kimia," katanya.
Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Aman Rabu ketika dihubungi mengesahkan bayi berkenaan sedang menerima rawatan dan dalam keadaan stabil tetapi enggan mengulas lanjut.
Oleh Ahmad Ismail 17 Aug, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?