Mahasiswa diingat jangan mudah terpengaruh hasutan

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Pelajar dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang mempergunakan mereka untuk kempen tidak sihat. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perhimpunan seperti di ibu negara semalam lebih menjurus kepada sentimen politik.

"Saya yakin mereka (mahasiswa) didorong pihak tidak bertanggungjawab. Mereka sepatutnya menuntut ilmu untuk berjaya, bukan diajar perkara yang bukan sepatutnya. Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini kononnya memberi harapan baharu sedangkan peranan mahasiswa ialah belajar," katanya. 

Idris berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Ke-20 di Dewan Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM turut menyifatkan pihak terbabit bankrap sokongan sehingga menggunakan mahasiswa sebagai penyokong. 

"Apabila tidak mempunyai sesiapa yang menyokong, pihak terbabit mempergunakan mahasiswa dan ini adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya. Jika mereka mempunyai sokongan dalam masyarakat, carilah dalam kalangan masyarakat, bukannya mahasiswa atau pelajar.

"Jangan ganggu pelajar untuk menimba ilmu. Biarlah mereka membuat pilihan sendiri," katanya sambil menasihatkan mahasiswa supaya memahami tugas mereka adalah mencapai keputusan cemerlang dalam akademik dan menjadi pilihan industri, bukan dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Oleh Mohd Nazllie Zainul 28 Aug, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?