KWSP buka pendaftaran Simpanan Syariah hari ini

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan Simpanan Syariah yang akan dilancarkan bermula Januari tahun depan kini sudah dibuka pendaftarannya di seluruh negara.

Sebanyak RM100 bilion dana diperuntukkan iaitu 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion yang direkodkan setakat Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata simpanan ini dibuat berdasarkan konsep 'siapa cepat dia dapat'.

Katanya, mana-mana ahli yang mahu melayakkan diri untuk Simpanan Syariah 2017, mereka perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember tahun ini, tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion itu.

"Sambutan yang diberikan untuk hari pertama ini amat menggalakkan. Dalam tempoh 30 minit ia dibuka, kita sudah menerima pendaftaran lebih 5,000 pemohon di seluruh negara," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau berkata, ahli yang mahu menukar simpanan KWSP konvensional kepada Simpanan Syariah perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran.

"Pendaftarannya begitu mudah sekali, hanya bawa MyKad untuk pengesahan cap jari manakala ahli bukan warga Malaysia perlu membawa pasport," katanya.

Oleh Norhayati Abdlah dan Mohd Nasaruddin Parzi 08 Aug, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?