Kes Saman Pertama Libatkan Pokemon Go di Malaysia : Lelaki Disaman Kerana Buru Pokemon Sambil Memandu


PETALING JAYA, 7 Ogos: Baharu sahaja dilancarkan di Malaysia semalam, sudah ada saman yang dikeluarkan disebabkan permainan Pokemon Go.

Menurut laporan dari Sin Chew Daily, saman itu dikeluarkan kepada seorang pemuda yang memburu karakter pokemon tersembunyi ketika dia sedang memandu semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Kuantan, Pahang itu, tindakan lelaki berkenaan dikesan oleh seorang anggota polis trafik yang kemudiannya mengeluarkan saman RM300 kepada lelaki itu diatas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Dalam kejadian pukul 11 pagi semalam itu, lelaki berkenaan bersama rakannya memperlahankan kenderaan untuk menangkap pokemon sebelum mereka diarahkan berhenti oleh seorang anggota polis trafik yang menunggung motosikal.

"Apabila polis trafik itu ternampak skrin telefon kami yang menunjukkan imej Pokemon Go dan tahu kami sedang menangkap raksasa, anggota trafik itu tidak tahan untuk ketawa.

"Kami juga ketawa, tapi anggota trafik itu kemudian memberi amaran kepada kami telefon bimbit tidak boleh digunakan ketika memandu dan mengeluarkan saman kepada kami", kata lelaki terbabit.

Katanya juga, mereka tahu tentang amaran yang dikeluarkan oleh Pokemon Go tentang bermain sambil memandu, dan berharap agar pemain Pokemon Go yang lain akan mematuhinya dan tidak melanggar undang-udang untuk mengelakkan disaman atau menjadi punca kemalangan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, SAC Mahamad Akhir Darus berkata, tindakan memandu sambil bermain aplikasi permainan, menghantar sistem pesanan ringkas atau menjawab panggilan telefon tanpa menggunakan alat 'hands free' adalah menyalahi Akta Pengangkutan Jalan.

"Pemandu akan hilang tumpuan dan mungkin menyebabkan kemalangan, membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya. - Siakapkeli.my

Sumber : FMTMalay Mail

Roti Tisu 07 Aug, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?