Kaki, pundi hempedu, gigi taring beruang madu dirampas

LAPAN kaki beruang madu yang dirampas daripada dua suspek di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Renjer hidupan liar Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan dua lelaki warga tempatan kerana memiliki beberapa anggota badan dan organ dalaman dipercayai diambil daripada dua beruang madu.

Anggota badan serta organ dalaman berkenaan ialah lapan kaki beruang, dua pundi hempedu dan lapan gigi taring.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya, berkata dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan berasal dari daerah pedalaman di negeri ini ditahan di kawasan Tanjung Aru di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, dua lelaki terbabit berada di kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti menjual anggota badan dan organ dalaman hidupan liar terbabit.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam yang menyatakan dua suspek ini dalam perjalanan ke Tanjung Aru bertujuan melakukan proses jual beli anggota dan organ terbabit.

"Sejurus menerima maklumat itu, Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar Sabah segera ke lokasi seterusnya menahan kedua-dua suspek sebaik mereka turun dari kenderaan dan pemeriksaan menemui anggota badan serta organ dalaman dalam pacuan empat roda dinaiki mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

William berkata, pihaknya turut merampas sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax digunakan mereka selain telefon bimbit sebelum dibawa ke Balai Polis Penampang untuk siasatan lanjut.

"Beruang Madu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 Seksyen 41(1).

"Jika sabit kesalahan, pemburu haiwan terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan denda RM50,000 atau kedua duanya sekali," katanya.

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof 09 Aug, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?