NUR Zara Fiza, 3 bulan, kini dirawat di di Hospital Sultanah Bahiyah akibat jantung berlubang. - Foto Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang menghidap jantung berlubang memerlukan bantuan sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
Nur Zara Fiza Ros Azizul disahkan menghidap penyakit itu, malam kelmarin selepas pemeriksaan mendapati saiz lubang pada jantungnya menjangkau tujuh milimiter (mm).
Bapanya, Ros Azizul Mohd Rosli, 31, dari Kampung Badak, Langkawi, berkata anak bongsu dari tiga adik-beradik itu sering batuk ketika berusia sebulan sehinggalah ia semakin teruk pada hujung bulan lalu.
"Saya dan isteri, Khadijah Zakaria, 26, kemudian membawa Nur Zara ke Hospital Langkawi, sebelum doktor memberitahu anak saya ada jangkitan kuman dan paru-paru berair hingga memerlukan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
"Pemeriksaan lanjut di HSB pada 2 Ogos lalu mendapati anak saya menghidap jantung berlubang dan memerlukan pembedahan segera," katanya ketika ditemui di HSB, di sini, hari ini.
Ros Azizul berkata, sebagai pemandu pelancong dengan gaji RM900 sebulan, agak sukar untuknya mengumpul wang yang diperlukan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ros Azizul di talian 017-4967553.
Oleh Noorazura Abdul Rahman 24 Aug, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?