Pagi tadi, dua atlet terjun negara, Pandelela dan Jun Hong mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat perak acara platform terjun berirama 10 meter wanita.
Hari ini, dada akhbar, portal berita, timeline Facebook dan lain-lain media sosial tidak putus-putus menceritakan tentang kemenangan dua atlet muda negara itu.
Tapi apa ada dengan sukan Olimpik sehinggakan setiap kemenangan; tidak kira tempat pertama, kedua atau ketiga; mendapat perhatian ramai?
Kali ini kami bawakan beberapa point penting mengapa sukan Olimpik begitu penting terutamanya untuk atlet dan juga negara.
Sejarah Olimpik
Bagi yang belum tahu, temasya Olimpik merupakan temasya sukan yang sudah lama wujud. Rekod sejarah Olimpik boleh dikesan pada 776 sebelum masihi lagi dan ia diadakan untuk 'dewa-dewa Olimpik' di bandar Olympia, Greece. Antara atlet-atlet lagenda yang berjaya mengukir nama menerusi Olimpik kuno ini adalah Astylos of Croton, Milon of Croton, Leonidas of Rhodes, Melankomas of Caria, Kyniska of Sparta.
Olimpik Moden
Olimpik 'dihidupkan' kembali 1,500 tahun selepas itu apabila Baron Pierre de Coubertin mempromosikan untuk menghidupkan kembali temasya itu, namun dengan tujuan sukan.
Temasya Olimpik moden pertama diadakan di Athens, Greece pada 1896. Temasya itu dilancarkan oleh Raja Gerogios I dan melibatkan 280 atlet dari 13 negara.
Malaysia mula menyertai temasya Olimpik pada tahun 1964.
Tahun ini, Olimpik Rio disertai oleh 205 buah negara yang mana melibatkan 11,178 orang atlet.
Mengapa Olimpik Begitu Penting
Olimpik moden bukan sahaja menjadi tempat atlet-atlet beradu tenaga dan kebolehan, malah ia juga menjadi tempat atlet menguji diri mereka sendiri. Antara sebab-sebab Olimpik menjadi temasya sukan yang penting adalah:
1 - Ia dianggap sebagai perlawanan 'ultimate' dalam karier seorang atlet.
2 - Olimpik diadakan sekali setiap empat tahun, menjadikan peluang untuk seseorang atlet menyertai Olimpik sangat terhad. Lebih dari itu, Olimpik hanya dilangsungkan dalam masa beberapa minggu sahaja.
3 - Hanya atlet-atlet terbaik sahaja akan beraksi di dalam Olimpik. Jadi, jika seseorang atlet itu berjaya memenangi emas dalam Olimpik, dia boleh dikatakan sebagai yang terbaik dalam acara yang disertainya itu.
4 - Olimpik menjadi tumpuan dunia kerana ia melibatkan penyertaan dari pelbagai negara. Ketika Olimpik berlangsung, seluruh dunia akan melihat bagaimana hebatnya seseorang atlet itu beraksi. Ini merupakan masa yang sesuai bagi mereka untuk mengukir nama di peringkat dunia.
5 - Bagi sesebuah negara pula, untuk menjadi tuan rumah bagi Olimpik bukan sesuatu yang mudah. Jadi amat penting bagi negara tuan rumah memastikan Olimpik berjalan dengan lancar.
Jika Olimpik di negara tuan rumah itu berjalan dengan pelbagai masalah, maka buruklah negara itu di mata dunia. Sebaliknya pula, negara itu akan disanjung malah akan mendapat perhatian media dan dikunjungi oleh pelancong untuk masa beberapa bulan.
Sumber : nansydamianova, History.com, Wiki
Roti Tisu 10 Aug, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?