ANGGOTA bomba bersama penduduk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di muara Sungai Rampayan Laut, Kota Belud. - Foto ihsan JBPM Sabah
KOTA BELUD: Dua guru maut manakala lapan yang lain termasuk dua kanak-kanak terselamat selepas bot yang mereka naiki karam di muara Sungai Rampayan Laut, dekat sini, petang tadi.
Ketika kejadian jam 3.40 petang, kedua-dua mangsa yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mantanani bersama seorang lagi guru, lima murid dan dua kru bot dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Sungai Rampayan di sini, ke Pulau Mantanani.
Guru wanita, Kamariah Hamdan, 47, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi guru lelaki, Limun Gamburud, ditemui lemas di Kuala Rampayan Laut.
Semua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan.
Anggota bomba mengangkat salah seorang mangsa bot karam di muara Sungai Rampayan Laut, Kota Belud.
Ahli keluarga mangsa bot karam memenuhi pekarangan Unit kecemasan Hospital Kota Belud.
Difahamkan, lapan mangsa diselamatkan oleh penduduk kampung sebaik bot mereka karam, namun seorang guru lelaki didapati hilang sebelum ditemui lemas.
Semua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Pulau Mantanani, kira-kira 45 minit menaiki bot laju dari Kuala Sungai Rampayan untuk sesi persekolahan, esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.45 petang sebelum menghantar lapan anggota ke lokasi.
Oleh Mohd Nazllie Zainul 21 Aug, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?