"Man Jadda Wajada" : Tulis Najib Setelah Terbaca Kisah Pencuri Ditawarkan Kerja di Tesco



KUALA LUMPUR, 16 Mac - "Man Jadda Wajada".

Itu tulis Perdana Menteri setelah beliau terbaca kisah seorang lelaki yang mencuri makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan yang sebelum ini viral di media sosial.

Disamping memuji tindakan pihak pengurusan Tesco yang menawarkan kerja kepada lelaki berkenaan, Najib juga turut mengajak orang ramai supaya berpegang kepada prinsip "Man Jadda Wajada", iaitu sesiapa yang berusaha, Insya-Allah akan mendapat apa yang diusahakannya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa ada banyak cara lain untuk mendapatkan bantuan dan mencari rezeki halal dan salah satu darinya adalah dengan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sentiasa bersedia untuk membantu sama ada dari segi kewangan, khidmat nasihat atau cara lain.

"Bagi yang beragama Islam pula, anda bolehlah mengunjungi atau menghubungi cawangan Lembaga Zakat negeri untuk mendapatkan bantuan.

"Meskipun lembaga-lembaga zakat sering melakukan tinjauan untuk mencari dan membantu mereka yang layak, sekiranya ada ahli keluarga atau kenalan yang tahu mengenai sesiapa yang memerlukan bantuan, boleh juga tampil dan memaklumkan kepada Lembaga Zakat," kata beliau menerusi blognya najibrazak.com.

Najib mengulas tindakan seorang pengurus Pasar Raya Tesco di Alma, Bukit Mertajam yang bertindakan menawarkan pekerjaan kepada seorang pencuri di pasar raya itu dari mengambil tindakan menghukumnya.

Tindakan dari pihak Tesco itu menjadi viral dan mendapat pujian ramai pihak.

Dalam kejadian tersebut, seorang bapa kepada tiga anak didapati mencuri barangan makanan bernilai RM27 di pasar raya itu untuk anak-anaknya yang lapar.

Setelah ditangkap dan disoal siasat, pihak Tesco mendapati kisah sedih lelaki tersebut adalah benar lalu menawarkan kerja kepada lelaki berkenaan dan tidak melaporkan jenayah itu.

Najib yang membaca kisah kecurian itu memuji tindakan Tesco.

"Walaupun mencuri itu satu kesalahan dari segi undang-undang, tetapi cara bagaimana pihak pengurusan Tesco Bukit Mertajam mengendalikan kejadian tersebut, dengan menawarkan bapa tadi untuk bekerja dengan mereka, haruslah dipuji," katanya. - Siakapkeli.my

Petikan penuh dari Blog Najib Razak.

Saya terbaca mengenai kisah kecurian di Tesco Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang membabitkan seorang bapa dengan tiga anak kecil yang perlukan makanan manakala isterinya terlantar sakit di unit rawatan rapi.

Walaupun mencuri itu satu kesalahan dari segi undang-undang, tetapi cara bagaimana pihak pengurusan Tesco Bukit Mertajam mengendalikan kejadian tersebut, dengan menawarkan bapa tadi untuk bekerja dengan mereka, haruslah dipuji.

Pada masa sama, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan bahawa terdapat banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan bantuan dan mencari rezeki yang halal.

Salah satunya adalah dengan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sentiasa sedia untuk membantu sama ada dari segi kewangan, khidmat nasihat dan lain-lain caranya agar dapat mengatasi cabaran ini dan berpeluang menikmati kehidupan lebih baik.

Bagi yang beragama Islam pula, anda bolehlah mengunjungi atau menghubungi cawangan Lembaga Zakat negeri untuk mendapatkan bantuan. Meskipun lembaga-lembaga zakat sering melakukan tinjauan untuk mencari dan membantu mereka yang layak, sekiranya ada ahli keluarga atau kenalan yang tahu mengenai sesiapa yang memerlukan bantuan, boleh juga tampil dan memaklumkan kepada Lembaga Zakat. Sama-sama kita mainkan peranan.

Saya juga menggalakkan semua untuk mengunjungi cawangan Jabatan Tenaga Kerja berdekatan atau secara atas talian di http://jtksm.mohr.gov.my/ bagi melihat kekosongan dan tawaran kerja yang ada pada setiap hari.

Di laman Jabatan Tenaga Kerja, terdapat pelbagai tawaran pekerjaan bagi kategori pekerjaan serta peringkat kelulusan berbeza, yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi awam.

Ingatlah bahawa Allah SWT berpesan dalam surah Al-Baqarah ayat 286, "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya."

Berpeganglah kepada prinsip "Man jadda wajada", iaitu sesiapa yang berusaha, Insya-Allah akan mendapat apa yang diusahakannya.

Wallahu'alam.

Roti Tisu 16 Mar, 2016

0 comment... add one now

Bagaimana Pula Pandangan Anda?