KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Malaysia dan Asia dalam misi kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva 'Women's Boat to Gaza' (WBG), Dr Fauziah Mohd Hasan, menggesa semua pemimpin dunia, kerajaan dan rakyat Malaysia serta mereka yang cintakan keamanan bertindak membebaskan semua 13 aktivis keamanan yang ditahan secara tidak sah oleh Israel.
Gesaan itu dibuat menerusi rakaman video mesej SOS beliau dan aktivis lain yang dimuat naik di wbg.freedomflotilla.org apabila mereka ditahan ketika dalam misi memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza.
Dalam video berdurasi 1.03 minit itu, Dr Fauziah turut menyatakan penghargaan terhadap semua pihak yang menyokong dan berdoa agar mereka selamat.
WAKIL tunggal Malaysia dan Asia dalam misi kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva WBG, Dr Fauziah Mohd Hasan.
Selain Dr Fauziah, 12 aktivis lain turut merakam video menggesa kerajaan negara masing-masing dan masyarakat antarabangsa agar memberi tekanan kepada Israel supaya membebaskan mereka yang "ditahan secara tidak sah" atau "diculik" di perairan antarabangsa.
Antara mereka ialah pemenang Hadiah Nobel 1976, Mairead Maguire dari Ireland dan Ahli Parlimen dari New Zealand, Marama Davidson; pengarah dan penulis skrip Amerika Syarikat, Naomi Wallace; atlet dan ahli akademik dari Norway, Gerd Von Der Lippe; serta jurulatih dan atlet Turki, Cigdem Topçuoglo.
Kapal Zaytouna-Oliva ditawan tentera laut rejim pada jam 8.58 malam tadi waktu Malaysia. Ia kini dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Kapal dengan 13 aktivis wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol, 21 hari lalu. Ia dilaporkan terputus hubungan pada 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza.
Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa, khususnya wanita, ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.
KAPAL Zaytouna-Oliva yang memulakan pelayaran 21 hari lalu dari Barcelona, Sepanyol itu terputus hubungan pada jam 8.50 malam tadi, kurang 50 batu nautika dari pantai Gaza. - Foto Facebook
Oleh Fahmy Azril Rosli 06 Oct, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?