KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih baik pada tahun 2017 dan 2018, disokong pemulihan harga komoditi.
Ketua Ekonomi bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Sudhir Shetty, berkata walaupun harga minyak mentah diunjurkan mencatat pemulihan dalam tempoh dua tahun akan datang, ia bagaimanapun tidak mampu melepasi paras yang dicatatkan pada 2014 iaitu melebihi AS$100 setong.
"Walaupun harga minyak tidak dapat menyamai atau melepasi paras 2014, ia semakin pulih berbanding tahun lalu dan ia memberi impak positif kepada ekonomi yang bergantung kepada komoditi seperti Malaysia.
"Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 dan 2018 lebih baik berbanding sasaran 4.0 peratus pada tahun ini," katanya pada sidang video bersama media Malaysia di sini, sebentar tadi.
Turut serta dalam sidang video berkenaan ialah Pegawai Kanan Komunikasi Bank Dunia, Dini Djalal.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin 05 Oct, 2016
Bagaimana Pula Pandangan Anda?